Saturday 17 August 2013

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN

kad raya photo: Kad raya kad-raya-3.gif

PERGERAKAN KREATIF



Pengenalan.
     Pergerakan kreatif merupakan interpretasi idea, perasaan serta tanggapan idea yang dilahirkan secara simbolik melalui pergerakan. Ia memberi penekanan kepada empat elemen asas, iaitu tubuh badan, ruang, masa dan tenaga yang merupakan perbendaharaan pergerakan untuk membolehkan kanak-kanak serta remaja berkomunikasi di samping meningkatkan potensi-potensi seperti kebebasan menyatakan perasaan melalui pergerakan , ritma dan kreativiti. Penerimaan pergerakan kreatif sebagai sebahagian daripada kurikulum pendidikan jasmani dan program kesihatan pastinya akan membantu serta memberi manfaat terhadap perkembangan personaliti kanak-kanak di samping meningkatkan sifat-sifat seni dalam diri mereka.

     Pergerakan kreatif dapat dijadikan sebagai suatu pengalaman untuk menyalurkan perasaan kanak-kanak. Hakikat  ini menjadi kenyataan apabila aspek-aspek intelek , emosi dan spritual dipadankan bersama aktiviti-aktiviti yang melibatkan pergerakan anggota badan. Mereka yang menceburi pergerakan kreatif biasanya ingin membentuk sifat-sifat fleksibel, mempelajari cara-cara mengawal pergerakan , mempertingkatkan keupayaan dan kapasiti pergerakan dan menggunakan anggota dan minda sebagai alat untuk mencapai tahap pergerakan yang bersifat seni. Pergerakan kreatif memberikan kesempatan yang luas kepada kanak-kanak untuk melahirkan perasaan dan menyuburkan daya imaginasi mereka. Ini memberikan kepuasan kepada mereka kerana mereka mulai sedar bahawa setiap anggota dapat dijadikan alat atau sekurang-kurangnya mempunyai daya potensi untuk menyalurkan segala tenaga yang berlebihan dan perasaan yang terpendam. Ini semua dapat membantu perkembangan pemikiran yang kritis , sikap sosial yang positif serta citarasa yang seni.

     Pergerakan kreatif dalam pendidikan adalah bertujuan antara lain untuk mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai bentuk pergerakan yang berunsur seni.Pendidikan bentuk ini membolehkan kanak-kanak menggunakan gerak geri anggota badan sebagai media untuk melahirkan perasaan dalaman, mengintegrasikan motor dengan kognitif, meninjau hubungan antara personaliti dengan pergerakan dan meneroka batas-batas tradisi yang menjadi ciri-ciri dalam proses pendidikan. Untuk merealisasikan bidang ini sebagai sebahagian daripada kurikulum pendidikan, pergerakan kreatif hendaklah dimajukan dan dikembangkan ke arah maklumat yang jelas. Paling penting dalam melaksanakan matlamat ini ialah ia hendaklah responsif terhadap keperluan dan minat setiap individu. Atas alasan ini maka pergerakan kreatif wajar diterapkan ke dalam pendidikan formal pada semua peringkat umur.