Friday 27 December 2013

PERINGKAT MENGAJAR KEMAHIRAN MENULIS


Kemahiran menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat danmengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu
pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik dan kemas. Murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan imaginatif. Peringkatperingkat kemahiran menulis terdiri daripada :

Peringkat Pra Tulis
      Peringkat pra menulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh ini latihan otot –otot tangan, jari dan mata serta koordinasi mata dan tangan diberi. Ia bertujuan untuk membolehkan mereka mengusai kemahiran membentuk lambang-lambang yang kemas dan jelas. Pelajaran tulisan haruslah dirancang secara sistematik dan bermula dengan peringkat pra menulis. Ia melibatkan beberapa latihan:

a) Tangan
  • Mengenggam dan membuka tangan dilakukan beberapa kali
  • Menggengam dan meronyokkan kertas
  • Memegang benda-banda seperti pensel atau pembaris
  • Melukis bentuk-bentuk di dalam bekas yang mengandungi pasir atau tanah
  • Memasang butang atau mengikat tali kasut.

b) Latihan pergerakan mata
  • Menutup kedua-dua mata dengan tangan, membuka dan menyebut banda yang
ditunjuk oleh guru
  • Melihat benda yang dipegang oleh guru dan dibawa kekiri-kanan dan ke kiri.
  • Menyebut nama-nama benda kecil yang dipegang oelh guru.

c) Latihan koordinasi mata dan tangan
  • Menyusun benda mengikut golongsn, bentuk warna dan ukuran
  • Mencantum bahagian-bahagian gambar yang terpotong
  • Mencantum titik
  • Mencantum arah jalan, memadankan gambar bagi benda-benda yang serupa.
  • Mencari benda yang tersembunyi
  • Membentuk lukisan ‘zig zag
  • Membentuk asas huruf dan nombor.

Peringkat Mekanis
Kemahiran menulis secara mekanis haruslah dikuasai pada peringkat awal supaya
murid-murid dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Aktiviti-aktiviti
tulisn seperti membuat corak, menekap dan membentuk huruf dan sebagainya adalah
penting kerana ia bertujuan memberi latihan dan pengalaman asas yang diperlukan
supaya dapat membantu murid-murid menguasai kemahiran menulis selanjutnya seperti
kemahiran menulis suku kata, perkataan, ayat dan sebagainya. Justeru, latihan-latihan
mekanikal yang boleh dijalankan untuk mendapatkan kemahiran tersebut ialah di
antaranya melalui:
(a) Latihan pergerakan tangan, otot, jari dan membentuk atau membuat garisan-garisan,
      bulatan, segi-segi, bentuk-bentuk awan larat dan sebagainya.
(b) Tunjukkan cara pergerakan tangan, tulisan di awangan, di pasir, papan tulis dan 
      sebagainya.
(c) Bermain, menyusun dan berlatih membentuk huruf dengan benda-benda seperti
      plastisin.
(d) Melatih atau menunjukkan cara membentuk huruf, menulis perkataan dan ayat.
(e) Mengawasi tulisan murid tentang bentuk, saiz, tegak atau condong, jarak dan
      kekemasan, kebersihan, dan lain-lain.
(f) Melatih menulis cepat, senang dan mudah dibaca.
(g) Melatih menulis dengan cantik.

Kemahiran Menulis Untuk Penglahiran
 Kemahiran penulisan untuk pelahiran pula biasanya dikuasai setelah kanak-kanak
mendapat kemahiran mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan mental. Latihan-latihan
mental yang boleh dijalankan untuk mendapat kemahiran ini ialah seperti:
(a) Latihan penyataan fikiran atau pendapat.
(b) Latihan penyataan perasaan.
(c) Latihan mengeluarkan pendapat yang tulen atau asli.

Pengajaran-pengajaran menulis terbahagi kepada tiga iaitu:
(a) Peringkat Pramenulis (persediaan)
(b) Peringkat mendirikan asas (peringkat mekanis)
(c) Peringkat untuk pelahiran

Peringkat pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan aktiviti-aktiviti
menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf dengan kemas dan betul. Dalam tempoh masa ini latihan otot-otot, tangan dan jari serta koordinasi tangan dan mata diberi kepada murid awal-awal lagi. Bagi membolehkan mereka menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang dengan kemas dan jelas, pengajaran tulisan haruslah sistematik dan berkesan. Latihan-latihan pramenulis boleh melibatkan latihan-latihan seperti:
(a) Menguasai latihan pergerakan tangan
(b) Menguasai gerakan tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan       
     sempurna
(c) Latihan pergerakan mata, serta latihan koordinasi tangan dan mata.

Seterusnya, dalam peringkat mendirikan asas pula murid-murid sepatutnya telah faham serta tahu cara memegang pensel, membentuk lambang dan sebagainya seperti yang diajar dalam kemahiran pra menulis. Pada peringkat awal, dicadangkan murid membentuk huruf di kertas kosong yang tidak mempunyai garisan. Setelah didapati memuaskan barulah dilatih membentuk huruf pada halaman bergaris. Apabila murid membentuk huruf pada kertas bergaris, kawalan tulisan perlu dilakukan. Ia harus bermula daripada garisan yang lebar hingga kepada lembaran satu garis. Contohnya adalah dengan melakukan aktiviti seperti:
(a) Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan terkawal
(b) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua
(c) Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu
(d) Latihan membentuk lambang tulisan dengan cara dengan cara yang betul untuk
      mendapat keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang seragam dan mudah
      dibaca.

Akhir sekali setelah menguasai peringkat mekanis, murid-murid patut digalakkan
melahirkan fikiran mereka secara bertulis. Cara-cara yang dicadangkan ialah bermula
daripada yang terkawal iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan, mengisi tempat
kosong, melengkapkan ayat-ayat dan perenggan sehingga murid-murid itu boleh
menghasilkan tulisan tanpa panduan. Di antara aktiviti-aktiviti menulis yang boleh
dijalankan ialah:
(a) Mengisi silang-kata
(b) Mengisi tempat kosong dalam ayat
(c) Melengkapkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai
(d) Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi
(e) Memanjangkan ayat dengan menambah rangkai kata yang sesuai
(f) Membentuk ayat bagi memudahkan cerita
(g) Menulis ayat berdasarkan gambar yang disediakan
(h) Menulis jawapan-jawapan kefahaman
(i) Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan
(j) Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan dan sebagainya dengan merujuk
      sukatan Pelajaran Bahasa Melayu.

HAPPY NEW YEAR 2014




Bersihkan diri sucikan hati 
Tahun baru kian menanti 
Layak mentari terangi bumi 
Bangkitkan semangat dalam diri 

JIWA akan sepi tanpa TEMAN
HATI akan mati tanpa IMAN
HARI ini adalah KENYATAAN
SEMALAM adalah KENANGAN
ESOK adalah IMPIAN
Sucikan HATI
Jernihkan FIKIRAN
Sambutlah Tahun Baru

Selamat Tahun Baru 2014


Sunday 22 December 2013

LOGO KPM

Logo Baru KPM

Gambar logo rasmi baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2014

Kementerian Pendidikan Malaysia, telah bersedia melangkah menuju ke era baru dengan visi dan misi yang lebih gitu dan bersemangat dengan pemilihan VISI  (“Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”) dan MISI (“Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara”)

Seiring dengan laungan visi dan misi terbabit, logo kementerian pendidikan malaysia juga diperkenalkan bagi membuktikan kesungguhan jabatan itu dalam perencanaan pendidikan terbaik di Malaysia


Logo Baru Kementerian Pendidikan Malaysia

Rekabentuk oleh :
Prof. Dato’ Dr Ahmad Zainuddin & Mohd Faizal Ahmad
(Majlis Rekabentuk Malaysia)

Rasional (Maksud Logo Baru Kementerian Pendidikan Malaysia KPM)

Logo ini direka mengunakan huruf ‘Alif’ sebagai konsep teras. Pendekatan mengunakan huruf atau typography adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf ‘Alif’ itu.

Alif juga membawa pengertian ILMU kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat

Ilmu juga di klasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang yakni duniawi mahupun ukhrawi

Ilmu juga di takrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan

Logo ini menggunakan dua ‘P’ dan dua ‘Alif’ melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi

Huruf ‘P’ yang bertingkat kearah Alif melambangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia

Bentuk Bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang bersifat global

Dari segi warna, Biru bermaksud profesionalisma dalam sistem pendidikan negara

Kuning keemasan melambangkan kecemerlangan

Putih melambangkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia



Tuesday 3 December 2013

KHASIAT BUAH-BUAHAN

KHASIAT BUAH-BUAHAN


BUAH-BUAHAN adalah sumber makanan alami yang sudah tersedia ada dan mudah didapati, tetapi sayang, ia kadang kala dilupakan begitu saja terutama mengenai khasiatnya. Buah kiwi misalnya, walaupun sangat kecil tetapi ‘gagah’ kerana ia sumber baik untuk magnesium, vitamin E dan serat, di samping mengandungi vitamin C sebanyak dua kali ganda berbanding sebiji buah oren.
Begitu juga epal, sebiji sehari menjauhkan kita dari berjumpa doktor. Walaupun sebiji epal mengandungi vitamin C yang rendah, ia mempunyai antioksidan dan flavanoids, yang mana menambahkan aktiviti untuk vitamin C, secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko barah kolon, sakit jantung dan angin ahmar.
Buah oren pula adalah antara ‘ubat’ paling manis. Mengambil dua atau empat biji buah berkenaan sehari, boleh menjauhkan selesema, kolesterol mencegah dan melarutkan batu di dalam buah pinggang serta memperkecilkan risiko barah kolon. Buah mangga juga mempunyai rahsianya tersendiri dan mungkin ramai yang tidak tahu mengenai manfaatnya dalam membantu membaiki kesihatan seksual, khususnya bagi lelaki.
Menerangkan fakta itu, pakar diet klinikal, Tan Yen Sing, berkata di sebalik rasa yang enak dan segar, mangga juga kaya berbagai vitamin, mineral, serat, dan karbohidrat. Malah, ia juga mengandung antioksidan yang tugasnya melawan radikal bebas, penyebab pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi dan kardiovaskular.

Tan berkata, selain membantu sistem pencernaan, sebahagian besar seratnya larut dalam air dan dapat menjaga kolesterol supaya tetap normal.
Dengan ada semua khasiat itu dalam buah mangga ia turut membuatkan pengaliran darah dalam tubuh berjalan lancar dan keadaan itu amat baik untuk lelaki ketika melakukan hubungan seksual, sekali gus membentuk gaya hidup seks yang lebih sihat.
Kempen anjuran MBG Fruitsshop itu bertujuan membantu menjelaskan mengenai hasil kajian kesihatan terkini kepada rakyat Malaysia, di samping mendidik dan menyebarkan maklumat terkini sebagai panduan. Kempen berkenaan dilancarkan oleh Pengarah Urusan MBG Fuitshop, Adnan Lee bersama dua selebriti, Jojo Struys dan Hansen Lee.
Baik Untuk Kesihatan
Tan berkata, pengambilan buah-buahan sama ada yang diimport mahu pun tempatan adalah baik dan memberi manfaat kepada kesihatan. Ini dibuktikan oleh banyak hasil penyelidikan di seluruh negara. Banyak manfaat buah-buahan dibuktikan dari segi saintifik, justeru, orang ramai tidak kira lelaki atau wanita dari pelbagai peringkat usia sentiasa digalak atau menjadikan buah-buahan sebagai satu hidangan wajib dalam menu harian.
Beliau berkata, pada 2005, lebih 17 juta orang meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular. Angka itu mencerminkan 30 peratus daripada kematian global. Kajian turut menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayuran sehari mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.
Kajian lain pula mendedahkan, kira-kira 19 peratus pengidap kanser usus dan 31 peratus pesakit yang mengalami pembuluh tersumbat didapati kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.
Antara khasiat penting yang terdapat dalam buah-buahan ialah kandungan seratnya terutama membantu pencernaan. Bagi orang dewasa, pengambilan serat yang diperlukan ialah 20 gram hingga 35 gram sehari manakala kanak-kanak berusia dua tahun ke atas ialah tiga gram hingga 18 gram.
Bagaimanapun, secara purata rakyat Malaysia yang dewasa mengambil kurang daripada 12 gram serat sehari dan ini sudah tentu belum mencukupi. Antara buah-buahan yang kaya dengan khasiat serat ialah epal, pisang, anggur, kiwi dan mangga.
Tanpa pengambilan serat, makanan mengambil masa antara 70 jam hingga 80 jam untuk melalui saluran penghadaman. Mengurangkan masa yang diambil makanan untuk melalui saluran itu dapat melindungi daripada serangan kanser usus besar dan rektum dengan mencairkan bahan beracun yang terdapat dalam usus besar serta mempercepatkan pengeluarannya dari tubuh.
Tan berkata, buah-buahan boleh diambil setengah jam sebelum atau selepas makan. Sebaiknya, alas perut dulu dan jangan memakannya secara tiba-tiba kerana ia boleh memberi kesan pada perut jika tidak biasa. Pengambilan buah-buahan sebaik-baiknya dipelbagaikan, malah lebih elok jika dalam pelbagai warna seperti pelangi kerana ia dapat menjamin khasiat yang lebih banyak dapat dinikmati.
Nikmati Buah-Buahan
Ada pelbagai cara untuk menikmati buah-buahan dengan lebih menyelerakan. Misalnya, jika ingin menjadikan pemanis mulut, anda boleh letakkan ais krim di atasnya atau tambahkan dadih tetapi pastikan jangan terlalu manis terutama jika makan mangga kerana buah itu sendiri sudah pun manis. Untuk mendapatkan tidur yang lebih tenang dan berasa rehat, ada juga yang mencadangkan minum susu panas terlebih dulu, kemudian barulah makan buah kiwi.
Bagi yang ada penyakit tertentu atau mempunyai masalah kesihatan, perlulah berhati-hati dan bersikap memilih. Ini kerana ada buah-buahan tertentu, mungkin tidak sesuai diambil. Contohnya, jika individu berkenaan mempunyai masalah penyakit buah pinggang kronik, jangan sama sekali mengambil buah belimbing kerana pengambilannya boleh memburukkan keadaan.
Khasiat Buah-Buahan:
Anggur/kismis
Mengurangkan risiko kanser, strok, penyakit jantung dan kehilangan ingatan, antipenuaan, antioksidan, antiradang, menjaga kesihatan kulit, mata, kardiovaskular, kesihatan gastrik, kesihatan saluran kencing dan menentang penyakit gusi.
Oren

Menjaga kesihatan jantung, penglihatan, pelalian dan mengurangkan risiko pelbagai kanser. Antioksidan, membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.
Epal

Mencegah demensia, mencegah kenaikan berat badan, menurunkan kolestrol, menentang kanser dan anti oksidan.
Pear

Antioksidan, menjaga kesihatan kardiovaskular, antiradang, menjaga kesihatan jantung, menyembuhkan luka dan lebam, membaiki tisu, menjaga kesihatan penglihatan, menentang jangkitan, menyokong transmisi saraf, melawaskan perut.
Pisang kaki

Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.
Mangga

Antikanser, menjaga kesihatan penglihatan, membantu penghadaman, menjaga kesihatan kulit, membantu membaiki kesihatan seksual, berfaedah bagi anemia dan mencegah selaran panas.
Kiwi

Membantu mengatasi insomnia, mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida), membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas, berdehit dan batuk malam), mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit, menjaga kesihatan penglihatan, kesihatan kolon dan kesihatan prostat.
Pisang

Antikemurungan (membantu membaiki ragam diri dan tidur), antioksidan, mengawal tekanan darah, meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan, meningkatkan tenaga, menjaga kesihatan jantung, mengurangkan risiko kanser, melegakan ciri-birit dan juga sembelit.

sumber: Berita Harian

Monday 4 November 2013

SALAM MAAL HIJRAH 1435

KELEBIHAN AWAL MUHARAM

Hijrah bermaksud berubah daripada melakukan kejahatan kepada kebaikan, daripada berakhlak buruk kepada berakhlak mulia dan daripada tidak bertakwa kepada bertakwa kepada Allah. Hijrah sebegini akan terus berkekalan sehingga hari kiamat. Sabda Nabi saw : “Orang yang melakukan hijrah yang sebenar ialah yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah”. ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Sambutan Ma’al Hijrah yang diadakan dengan penuh semangat dan pelbagai acara akan menjadi sia-sia dan tidak berfaedah sekiranya ia tidak disusuli dengan perubahan sikap dalam diri setiap individu muslim ke arah yang lebih baik.

2. Berpuasa Sunat

Bulan Muharram merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram. Berpuasa pada bulan ini pada dasarnya dijanjikan dengan pahala yang besar. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah bulan Allah,Muharram dan solat yang paling utama selepas fardu ialah ialah solat malam”.(Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Baihaqi, Ahmad)
Hadis ini dengan jelas menyatakan keutamaan berpuasa pada bulan Muharram berbanding bulan-bulan lain selain Ramadan. Hadis ini juga menjadi hujah bahawa kita digalakkan berpuasa sunatpada bulan Muharram lebih banyak berbanding bulan-bulan lain.

Puasa bulan Muharram lebih lagi digalakkan pada hari ’Asyura iaitu pada 10 Muharram. Puasa ‘Asyura ini pada asalnya adalah wajib. Kemudian menjadi sunat setelah puasa Ramadan difardukan sebagaimana sabda rasulullah saw hadis riwayat Muawiyah ra berkata : aku mendengar Nabi bersabda : Hari ini adalah hari ‘Asyura tidaklah wajib kamu berpuasa tetapi saya berpuasa. Maka sesiapa yang mahu ia boleh berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu ia boleh berbuka. ( Imam al-Bukhari dan Muslim).

Galakan berpuasa pada hari ‘Asyura ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Ibn Abbas berkata : “Aku tidak melihat Rasulullah saw mengutamakan hari puasa yang dilebihkan atas hari lain kecuali hari ini, iaitu hari ‘Asyura dan bulan Ramadan”.

Berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat keampunan dosa setahun yang lalu sebagaimana hadis riwayat Abu Qatadah berkata bahawa Baginda saw ditanya tentang puasa ‘Asyura. Baginda menjawab :”Ia menghapuskan (dosa) setahun yang lepas”.( Riwayat Imam Muslim).

Terdapat sebahagian ulama yang berpendapat puasa pada hari ‘Asyura ini hendaklah dilakukan bersama sehari sebelumnya iaitu dinamakan juga dengan hari Tasu’a (hari kesembilan). Ini berdasarkan hadis hadis Ibn Abbas ra : “Ketika Rasulullah saw berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa, mereka berkata:Wahai Rasulullah saw Sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Maka Nabi saw bersabda :”sekiranya aku masih hidup tahun hadapan, tentu aku akan berpuasa pada hari kesembilan”. ( Riwayat Imam Muslim)

Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9,10,11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.

Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.

3. Puasa Khas 1 Muharram dan Sembilan awal Muharram

Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, Namun diingatkan bahawa terdapat sangat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan sama sekali kerana sabda Rasulullah saw riwayat Imam al-Bukhari :” Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan daripada perintah kami maka amalan itu tertolak
( tidak diterima”).

Selain daripada puasa yang disebutkan di atas tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas Sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

1) Nabi bersabda : ” Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun. Hadis ini dikomentar oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu( al-Maudu’at).
2) Nabi bersabda :”Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”.
( palsu,lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)

Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal. Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam. Imam mUslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya :” Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik.

Amalan-amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

4. Memasak Bubur ‘Asyura

Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandaran kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.

5. Doa Awal Tahun

Berdoa merupakan satu ibadat dan perintah Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya aku mustajab untuk kamu”.( Surah Ghafir ayat 60)
Begitu juga banyak hadis-hadis yang mendorong kita agar sentiasa berdoa. Sesiapa sahaja boleh berdoa pada awal Muharram dengan doa yang dikehendaki berdasarkan umum ayat al-Quran di atas. Mengadakan majlis khas dengan upacara khas dan dibaca doa khas pada awal tahun dan akhir tahun dengan anggapan akan dihapuskan dosa selama setahun perlukan dalil yang sahih daripada amalan Nabi saw atau para sahabat. Tapi ternyata tiada satu pun hadis Nabi saw atau atsar yang menunjukkan para sahabat mengamalkan doa khas Muharram. Mustahil akan ada hadis Nabi saw dalam perkara ini memandangkan penetapan tahun Hijriyyah ini ditentukan oleh Amir al-Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab ra iaitu setelah lama kewafatan Rasulullah saw.

Konklusinya, kita hendaklah berhati-hati dalam mengamalkan sesuatu amalan agar amalan kita sentiasa menepati sunnah Rasulullah saw. Beramal dengan hadis palsu dan hadis yang tidak sahih mengakibatkan amalan kita tidak diterima oleh Allah SWT. Alangkah beruntungnya seseorang yang kembali ke akhirat dalam keadaan amalannya yang diterima oleh Allah SWT dan alangkah malangnya seseorang yang mengadap Allah SWT, tiba-tiba mendapati amalannya ditolak.