Pengenalan.
Pergerakan kreatif merupakan interpretasi
idea, perasaan serta tanggapan idea yang dilahirkan secara simbolik melalui
pergerakan. Ia memberi penekanan kepada empat elemen asas, iaitu tubuh badan, ruang, masa dan tenaga yang merupakan perbendaharaan pergerakan untuk
membolehkan kanak-kanak serta remaja berkomunikasi di samping meningkatkan
potensi-potensi seperti kebebasan menyatakan perasaan melalui pergerakan ,
ritma dan kreativiti. Penerimaan pergerakan kreatif sebagai sebahagian daripada
kurikulum pendidikan jasmani dan program kesihatan pastinya akan membantu serta
memberi manfaat terhadap perkembangan personaliti kanak-kanak di samping
meningkatkan sifat-sifat seni dalam diri mereka.
Pergerakan kreatif dapat dijadikan sebagai
suatu pengalaman untuk menyalurkan perasaan kanak-kanak. Hakikat ini menjadi kenyataan apabila aspek-aspek
intelek , emosi dan spritual dipadankan bersama aktiviti-aktiviti yang
melibatkan pergerakan anggota badan. Mereka yang menceburi pergerakan kreatif
biasanya ingin membentuk sifat-sifat fleksibel, mempelajari cara-cara mengawal
pergerakan , mempertingkatkan keupayaan dan kapasiti pergerakan dan menggunakan
anggota dan minda sebagai alat untuk mencapai tahap pergerakan yang bersifat
seni. Pergerakan kreatif memberikan kesempatan yang luas kepada kanak-kanak
untuk melahirkan perasaan dan menyuburkan daya imaginasi mereka. Ini
memberikan kepuasan kepada mereka kerana mereka mulai sedar bahawa setiap
anggota dapat dijadikan alat atau sekurang-kurangnya mempunyai daya potensi
untuk menyalurkan segala tenaga yang berlebihan dan perasaan yang terpendam.
Ini semua dapat membantu perkembangan pemikiran yang kritis , sikap sosial yang
positif serta citarasa yang seni.
Pergerakan kreatif dalam pendidikan adalah
bertujuan antara lain untuk mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai bentuk
pergerakan yang berunsur seni.Pendidikan bentuk ini membolehkan kanak-kanak
menggunakan gerak geri anggota badan sebagai media untuk melahirkan perasaan dalaman, mengintegrasikan motor dengan kognitif, meninjau hubungan antara personaliti
dengan pergerakan dan meneroka batas-batas tradisi yang menjadi ciri-ciri dalam
proses pendidikan. Untuk merealisasikan bidang ini sebagai sebahagian daripada
kurikulum pendidikan, pergerakan kreatif hendaklah dimajukan dan dikembangkan
ke arah maklumat yang jelas. Paling penting dalam melaksanakan matlamat ini
ialah ia hendaklah responsif terhadap keperluan dan minat setiap individu.
Atas alasan ini maka pergerakan kreatif wajar diterapkan ke dalam pendidikan
formal pada semua peringkat umur.
No comments:
Post a Comment