Saturday 1 December 2012

FONETIK DAN FONOLOGI



      A. Fonetik

Bagi Arbak Othman (1983), fonetik adalah kajian tentang bunyi-bunyi ujar. Sebagai ilmu, fonetik berusaha menemukan kebenaran-kebenaran umum dan memformulasikan hukum-hukum umum tentang bunyi-bunyi itu dan pengucapannya, manakala sebagai kemahiran, fonetik memakai data deskriptif dasar daripada fonetik ilmiah bagi memberi kemungkinan pengenalan dan pengucapan bunyi-bunyi ujar itu.

Selain itu, fonetik boleh didefinisikan sebagai mempelajari segala bunyi yang diucapkan melalui mulut manusia, baik bunyi manusia, bukan bunyi bahasa, mahupun bunyi-bunyi marginal, dan memberikan simbol fonetik untuk setiap bunyi, yakni menurut Dr. Lufti Abas (1985)..

Fonetik ialah ilmu yang mengkaji bunyi bahasa, iaitu ujaran atau pertuturan yang dihasilkan oleh manusia dengan mengecualikan bunyi seperti berdengkur, batuk, berdeham, bersiul, sebagainya. Ruang lingkup fonetik merangkumi antara lain proses pertuturan atau penghasilan bunyi dan pengelasan. Kajian fonetik terbahagi kepada tiga cabang, iaitu fonetik artikulasi, fonetik akustik dan fonetik auditori.

i) Fonetik Artikulasi 
            Cabang ini mengkaji tentang cara penghasilan bunyi bahasa dan bahagian-bahagian (artikulator) yang terlibat dalam penghasilan bunyi. Selain itu, cabang ini juga melakukan pengelasan terhadap bunyi bahasa berdasarkan cara bunyi itu dikeluarkan oleh alat tutur (artikulator), seperti lidah, bibir, lelangit keras, lelangit lembut, anak tekak, dan sebagainya.
ii) Fonetik Akustik 
            Cabang ini mengkaji sifat-sifat bunyi bahasa. Sifat fizikal yang dimaksudkan di sini ialah gelombang bunyi ujaran yang dihasilkan oleh pita suara. Gelombang bunyi ini dapat diukur dengan menggunakan alat seperti spektrogram dan osiloskop. Antara sifat yang diberi perhatian dalam kajian fonetik akustik termasuklah nada, frekuensi dan amplitud.

iii) Fonetik Auditori 
            Cabang ini mengkaji tentang cara bunyi bahasa ditanggapi oleh pendengar melalui pendengaran dan diterjemahkan (persepsi) oleh otak. Proses ini adalah proses yang paling kompleks dalam kajian fonetik kerana proses ini melibatkan kajian yang bersifat mujarad. Dari ketiga-tiga cabang ini, fonetik artikulasi adalah cabang yang paling diberi tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran fonetik di Malaysia. Dua cabang lagi, iaitu fonetik akustik dan fonetik auditori agak kurang diberi perhatian kerana tiadanya peralatan dan kepakaran yang menyebabkan kesukaran untuk pengajaran.
   
     B. Fonologi

            Menurut Rahimah Haji Sabran dan Rahim Sham (1985), bidang fonologi mengkaji sistem bunyi- bunyi yang tertentu dalam pertuturan, khusus bagi sesuatu bahasa. Ini jelas daripada pendapat Henderson yang menyatakan “the study of the systematic organization of selected speech sounds in the spoken form of individual language has variously been called phonology”.

            Mengikut Frank Parker (1994), fonologi merupakan suatu bidang yang mengkaji sistem bunyi sesuatu bahasa: iaitu rumus-rumus yang menentukan aspek sebutan. Dalam tradisi barat, pengkajian tentang bidang fonologi ini telah bermula sejak 200 tahun yang lalu, iaitu bermula lebih kurang pada awal tahun 1800, apabila para ahli bahasa memulakan pengkajian tentang perubahan bunyi bahasa dengan cara membandingkan bunyi bahasa yang wujud dalam pelbagai bahasa yang berkaitan. Sehubungan itu dengan kata lain, fonologi ialah ilmu tentang perbendaharaan fonem sesebuah bahasa.

            Para pengkaji fonologi menggunakan istilah-istilah teknikal ketika menjelaskan sesuatu bunyi. Antaranya ialah, bunyi-bunyi itu dibahagikan kepada bunyi-bunyi vokal, konsonan dan diftong. Bunyi-bunyi itu diberi lambang yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Satu unit bunyi fonetik dinamakan fon dan diberi lambang tertentu dalam kurungan siku. Contohnya [o]. Satu unit bunyi fonem diberi lambang hampir sama dengan huruf dan ditulis dalam garis miring. Contohnya /o/. Huruf pula, seperti yang kita ketahui, tidak diapit oleh sebarang tanda baca. (Fonem ialah unit bunyi yang lebih besar daripada fon dan mempunyai fungsi tertentu dalam sesuatu bahasa.) Lazimnya fonetik dikaji secara berasingan. Hal ini demikian kerana bidang fonetik amat rumit dan bersifat teknikal

Fonetik dan Fonologi Dalam Bahasa Melayu Baku

            Fonologi telah didefinisikan sebagai satu cabang  ilmu bahasa yang mengkaji bunyi bahasa sesuatu bahasa dan fungsinya dalam sistem bunyi bahasa tersebut. Bunyi bahasa telah disusun mengikut sistem dan bidang fonologi bertujuan untuk menganalisis penggunaan sistem ini. Pembahagian dalam bidang fonologi terbahagi kepada dua  cabang iaitu fonemik dan fonetik. Bidang fonetik ialah bidang yang mengkaji bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh manusia serta memberi lambang kepada bunyi-bunyi tersebut. Pengkajian fonetik terbahagi kepada tiga cabang iaitu fonetik akustik, fonetik pendengaran dan fonetik artikulasi.

     Konsep Bunyi

Melalui bidang fonologi, antara aspek yang mendapat perhatian utama ialah konsep bunyi, sistem tulisan dan suku kata. Menggunakan alat-alat ujaran, manusia menghasilkan bunyi. Melalui keadaan udara yang terkeluar dari paru-paru menerusi alat-alat ujaran telah menghasilkan bunyi-bunyi. Contohnya, bersin, batuk dan berdehem hanya bunyi semata-mata dan tidak dikenali sebagai bunyi bahasa. Bunyi-bunyi yang dihasilkan untuk tujuan pertuturan dikenali sebagai bunyi bahasa. Dalam pertuturan, manusia cuba untuk menghasilkan bunyi yang bermakna. Bunyi yang dikeluarkan dalam bentuk ujaran itu berlaku secara berterusan iaitu berentetan. Tetapi, bagi tujuan kajian, bunyi-bunyi tersebut dianggap terpisah menjadi unit-unit kecil yang dikenali sebagai bunyi penggalan atau fon, contohnya bunyi [p], [a], dan [w].

     Sistem Bunyi Bahasa Melayu

Bahasa Melayu mempunyai sistem bunyi yang tersendiri dan untuk menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan, seseorang pengguna bahasa perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya. Kajian bunyi lazimnya terbahagi kepada dua bidang, iaitu fonetik dan fonologi. Fonetik mengkaji bunyi bahasa dari segi penyebutan dan pendengaran atau sifatnya. Fonologi pula mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi  dalam sesuatu bahasa.

1 comment:

  1. salam..boleh tak cikgu terangkan mengenai kaitan fonologi dengan tanda baca..mohon bantuan pencerahan..

    ReplyDelete